Friday, March 11, 2011

Chong Wei ke suku akhir

JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak berdepan masalah untuk mara ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Seluruh England 2011.
Tampil dengan status selaku juara bertahan, pemain berusia 29 tahun itu mudah mengetepikan cabaran pemain China, Boa Chunlai 21-16, 21-16 pada aksi pusingan kedua di Birmingham, England semalam.
Keputusan itu sekali gus melebarkan rekod kemenangan Chong Wei ke atas Chunlai dengan memenangi 10 perlawanan daripada 14 pertemuan sebelum ini.
Terdahulu, Chong Wei yang merupakan pemain ranking No. 1 dunia mara ke pusingan kedua selepas mencatatkan kemenangan ke atas Brice Leverdez dari Perancis 21-9, 21-11 pada aksi pusingan pertama kelmarin.
Bagaimanapun, laluan buat Chong Wei mempertahankan gelaran juara yang dimenanginya tahun lalu kini semakin sukar bermula daripada peringkat suku akhir yang berlangsung hari ini.
Pada aksi suku akhir hari ini, Chong Wei bakal berdepan pemenang perlawanan di antara Boonsak Ponsana dari Thailand dengan perseorangan Korea Selatan, Lee Hyun Il.
Sementara itu, dua beregu lelaki negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong serta Mohd. Zakry Abdul Latif-Hoon Thien How turut melayakkan diri ke peringkat suku akhir selepas menewaskan lawan masing-masing.
Kien Keat-Boon Heong mara selepas menang 21-10, 22-20 ke atas beregu Taiwan, Chen Hung Ling-Lin Yu Lang manakala Zakry-Thien How membenam cabaran gandingan Jepun, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa 12-21, 21-14, 21-19.

Sumber : Kosmo

No comments:

Post a Comment