Thursday, June 23, 2011

Chong Wei buka langkah kanan



CHONG WEI memburu gelaran juara buat kali ketiga pada Terbuka Indonesia 2011.

JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei meminta para peminat Indonesia supaya menyokongnya dalam misinya merangkul gelaran juara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia buat kali ketiga berturut-turut. Chong Wei memenangi gelaran juara Terbuka Indonesia pada 2009 dan 2010 dan jika memenangi kejuaraan itu pada Ahad ini, dia akan tercatat dalam rekod menjadi rakyat bukan Indonesia yang pertama memenangi gelaran juara perseorangan sebanyak tiga kali.
Bekas bintang Indonesia, Ardy Wiranata melakukannya pada edisi 1990, 1991 dan 1992 sebelum pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2004, Taufik Hidayat mengungguli saingan 2002, 2003 dan 2004.
Semalam, Chong Wei bermula cemerlang apabila membenam pemain muda Indonesia, Tommy Sugiarto 21-16, 21-8 pada aksi pusingan pertama di Istora Senayan.
"Saya juga berharap dan percaya sesiapa yang bertanding di sini (Terbuka Indonesia) juga mahu memenangi gelaran kejuaraan dalam kategori masing-masing.
"Saya berharap para peminat Indonesia akan menyokong saya sepanjang kejohanan ini bagi merangkul gelaran itu," kata Chong Wei selepas menewaskan Tommy semalam.
Walaupun pada awal perlawanan Chong Wei ketinggalan 1-5, dia mula mendapat rentak selepas itu sehingga berjaya menyingkirkan Tommy dalam tempoh 33 minit.
Sementara itu, beregu utama wanita negara, Wong Pei Tty/Chin Ee Hui turut melepasi halangan pusingan pertama selepas menewaskan pasangan Denmark, Line Damkjaer Kruse/Marie Roepke 21-18, 24-22.
Beregu muda lelaki negara, Gan Teck Chai/Tan Bin Shen pula tersingkir awal apabila tewas 10-21, 19-21 kepada gandingan Jepun, Naoki Kawamae/Shoji Sato.
Mohd. Zakry Abdul Latiff/Hoon Thien How tewas di tangan pasangan Indonesia Ahsan Mohammad/Septano Bona 15-21, 17-21.
Perseorangan lelaki negara, Liew Daren gagal mencipta kejutan apabila tewas, 28-30, 23-21, 12-21 kepada Taufik Hidayat.

No comments:

Post a Comment