"ATAS kertas, Lin Dan memang boleh dikatakan sebagai pemain
pilihan pada Sukan Olimpik 2012 London tetapi ia belum pasti memberi
jaminan kepadanya untuk meraih kemenangan."
Itu pandangan ketua jurulatih perseorangan badminton negara, Rashid
Sidek semalam menjelang perlawanan akhir acara perseorangan lelaki
antara Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan dari China malam ini.
Menurut Rashid, gaya permainan Lin Dan memang sukar dibaca terutama ketika menentang Chong Wei.
"Kita boleh tengok gaya permainannya sejak temasya Olimpik ini
bermula. Rentaknya berlainan tetapi bila berdepan dengan Chong Wei gaya
permainannya pasti berubah.
"Dia akan menampilkan gaya permainan yang berbeza. Sebab itu saya
ingatkan Chong Wei agar tidak terlalu mengikut rentak Lin Dan.
"Chong Wei harus bekerja lebih keras dan fokus dengan diri sendiri," kata Rashid.
Menurutnya, peluang kedua-dua pemain adalah seimbang dan dia yakin Chong Wei akan cuba untuk menyekat kemaraan lawannya itu.
"Setakat ini, Chong Wei nampak selesa dengan rentak permainannya dan tahap kecergasannya juga tidak meragukan.
"Dia sudah mula mendapat match fitness selepas lebih
dua bulan setengah tidak beraksi dalam mana-mana kejohanan berprestasi
tinggi ekoran kecederaan yang dialaminya semasa menggalas cabaran negara
pada saingan Piala Thomas Mei lalu.
"Dalam tempoh tersebut, Chong Wei gigih menjalani rawatan pemulihan dan setakat ini dia nampak lebih yakin.
"Bukan mudah untuk mengembalikan form selepas berehat lama, tetapi
pada Olimpik ini, dia (Chong Wei) nampak sudah bersedia sepenuhnya,"
jelas Rashid lagi.
No comments:
Post a Comment