Thursday, October 4, 2012

BAM rancang guna kesempatan

SELEPAS membiarkan peruntukan RM30 juta untuk penubuhan Pusat Kecemerlangan Badminton begitu saja pada 2008, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahu bertindak pantas kali ini, untuk memastikan projek itu terlaksana secepat mungkin apabila memohon secara rasmi peruntukan RM80 juta dalam pembentangan Belanjawan 2013, baru-baru ini.
Peruntukan besar itu bagaimanapun perlu dibahagikan kepada dua, bagi penubuhan Akademi Kecemerlangan Badminton dan Veledrom Tertutup itu.

“Kami tetap perlu membuat permohonan peruntukan untuk mengubah suai dan membina Pusat Kecemerlangan Badminton di Bukit Kiara dan kami baru memohon secara rasmi kepada kerajaan,” kata Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh.
Meskipun tidak jelas dengan pembahagian peruntukan untuk sukan badminton dan basikal, difahamkan BAM bakal menerima RM50 juta sementara bajet pembinaan velederom tertutup di Negeri Sembilan, RM30 juta.

“Saya pasti kita akan dapat membina Pusat Kecemerlangan ini secepat mungkin kerana kerajaan sudah memberi lampu hijau, kompleks sukan di Bukit Kiara untuk tujuan pembinaan. Dengan 18 gelanggang sedia ada di tempat latihan semasa, kita akan bangunkan satu lagi bangunan yang memuatkan 18 gelanggang, asrama dan trek latihan,” kata Nadzmi lagi.

Beliau juga mahukan reka bentuk canggih bersesuaian dengan nama Pusat Kecemerlangan serta ingin pastikan persekitaran gelanggang latihan dan asrama, jauh berbeza bagi mengelakkan pemain bosan berada di tempat sama.

No comments:

Post a Comment