Bekas pengarah dan ahli Pasukan Prestasi Tinggi (HPT), Datuk James Selvaraj menegaskan, apa yang berlaku dalam kejurulatihan ketika ini tidak betul.
“Saya nampak jurulatih melaksanakan tugas mereka dengan baik tapi tidak bersetuju Pang Cheh Chang melatih Koo Kien Keat-Tan Boon Heong saja. Sepatutnya jika ada tiga jurulatih sekalipun, mereka mesti bergabung melatih semua pemain,” kata James.
“Saya akan cadangkan kepada BAM agar memberi kuasa mutlak kepada Tan Kim Her menjaga pemain beregu lelaki sambil dibantu jurulatih lain.
“Kien Keat-Boon Heong mesti dipisahkan selepas mereka gagal menghasilkan keputusan yang baik di Olimpik London. Tidak salah jika menggandingkan Kien Keat-Lim Khim Wah, Boon Heong-Goh V Shem ketika menyertai kejohanan kelas GP Emas manakala kekalkan gandingan asal ketika menyertai Siri Super. Waktu inilah untuk BAM membuat penilaian gandingan mana lebih baik.
“Cheh Chang pula mesti ditukarkan ke bahagian lain atau beralih ke Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).” Tumpuan semua jurulatih akan memastikan pemain beregu muda negara yang dibarisi beberapa gandingan yang muncul juara di peringkat remaja Asia dan Dunia, lebih cepat matang di pentas antarabangsa.
“Sekarang di bahagian elit hanya ada empat pemain dan Chan Kwong Beng tidak relevan lagi berbanding Chong Wei Feng dan Liew Daren. Lebih baik biarkan Tey Seu Bock bersama seorang pembantu, melatih pemain ini termasuk Chong Wei dengan Rashid ke skuad pelapis.
“Ketiga-tiga pemain ini masih muda, bawah 23 tahun jika mereka tidak berjaya pada 2016 sekalipun, mereka masih boleh bermain hingga 2020,” kata James lagi.
Bekas pemain dan jurulatih kebangsaan itu berkata, beliau akan menyuarakan cadangan terbabit dalam mesyuarat C&T meskipun mendapat kecaman daripada pegawai tertentu kerana menurutnya apa yang berlaku kini adalah realiti sebenar badminton negara.
No comments:
Post a Comment