Ketua jurulatih beregu lelaki, Tan Kim Her berkata, keputusan itu adalah hasil persetujuan menerusi perbincangan dengan ketua jurulatih beregu wanita, Rosman Razak; jurulatih beregu lelaki, Pang Cheh Chang dan jurulatih beregu campuran, Jeremy Gan.
Katanya, beliau akan mencadangkan perkara tersebut ketika mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CTC) Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Sabtu ini.
"Bagi program ini, pemain beregu lelaki akan beraksi dalam acara beregu campuran dan begitu juga dengan wanita iaitu secara tetap mana- kala pemain beregu campuran pula akan diberi peluang beraksi dalam acara beregu lelaki atau wanita.
"Saya sudah ada enam calon pemain di bawah kendalian saya (lelaki) untuk beraksi dalam acara beregu campuran. Namun, saya tidak boleh dedahkan nama mereka dahulu kerana perlu tunggu sehingga mesyuarat CTC, Sabtu ini.
"Untuk calon pemain beregu wanita dan beregu campuran, saya serahkan kepada jurulatih mereka membuat keputusan.
"Ini merupakan salah satu program yang dirangka bagi mempersiapkan para pemain menghadapi Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil yang mana acara beregu campuran turut disenaraikan pada temasya itu.
"Sebenarnya kita mahu memulakan program ini lebih awal tetapi di- sebabkan kesibukan bagi melakukan persiapan Sukan Olimpik 2012, kita tangguhkan dahulu. Sekarang, Sukan Olimpik sudah tamat dan ia adalah masa yang sesuai untuk memulakan program tersebut.
"Saya tidak fikir program ini akan mendatangkan masalah kepada CTC untuk meluluskannya kerana ia dibuat demi kebaikan para pemain beregu negara," kata Kim Her ketika ditemui Kosmo! sejurus tamat sesi latihan skuad badminton negara di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Ditanya sama ada program itu hanya akan memberi tekanan kepada para pemain, Kim Her berkata: "Untuk beraksi dalam dua acara, sudah pasti jurulatih akan memilih pemain yang benar-benar layak sahaja.
"Pemain akan dipilih berdasarkan kekuatan fizikal dan kualiti yang dimiliki mereka. Jika mereka tidak tidak ada kriteria itu, tidak mungkin mereka akan dipilih."
Jelas beliau, menerusi program tersebut ia akan memberi banyak kebaikan kepada para pemain yang terlibat.
"Pemain beregu lelaki dan wanita yang beraksi dalam acara beregu campuran akan dapat belajar dan me- ningkatkan kemahiran mereka tentang teknik mengawal gelanggang dengan lebih baik.
"Pemain beregu campuran yang beraksi dalam acara beregu lelaki atau wanita pula akan meningkatkan tahap kepantasan dan kekuatan kaki mereka," jelas Kim Her.
Ketika ini, skuad negara memiliki empat pasangan beregu elit lelaki, tiga beregu wanita dan empat beregu campuran.
No comments:
Post a Comment