MEMEGANG raket mengikut cara yang betul akan membolehkan anda membuat pukulan dengan mudah dan berkesan. Jika tidak, setiap pukulan yang dilakukan anda akan tersasar dari sasaran atau mungkin tidak mengenai bulu tangkis.
Cara memegang raket juga menentukan anda bermain mengikut corak bertahan atau menyerang. Apa yang lebih penting, apabila memegang raket anda harus merasai keberatan dan tahap ringannya. Jika terlalu ringan, anda akan dapat menghayun dengan daya yang sedikit manakala jika berat, anda mungkin terpaksa mengerah tenaga.
Cara memegang raket terbahagi kepada dua kaedah iaitu cengkaman biasa dan cengkaman kilas.
Cengkaman biasa
Cara ini agak mudah. Ibaratkan anda hendak bersalaman dengan seseorang. Ibu jari anda harus menekan pemegang raket dan jari-jari anda mencengkam pemegang raket.
Cengkaman kilas
Tidak mempunyai banyak perbezaan seperti cengkaman biasa. Pada cengkaman ini, lazimnya kedudukan ibu jari anda harus diluruskan untuk memberi tekanan kepada raket ketika anda hendak membuat pukulan.
Terdapat beberapa perkara penting harus diberi perhatian oleh anda ketika mempelajari kaedah betul memegang raket:-
i)membalut pemegang raket dengan pembalut yang bersesuaian dengan citarasa anda bagi mengelakkan kesukaran untuk mencengkam atau membuat pukulan.
ii)bentuk cengkaman amat penting, sama ada kuat ataupun longgar bergantung kepada tahap pukulan anda. Jika tidak berhati-hati, adakalanya raket boleh terlucut dari cengkaman jari anda.
iii)cara memegang raket dengan menggunakan keseluruhan pemegang raket dari pangkal hingga hujung pemegang juga penting untuk menentukan bentuk pukulan yang hendak dibuat.
iv)keberatan raket yang sesuai membolehkan anda menggunakan pergelangan tangan anda untuk mempelbagaikan jenis pukulan. Ia dapat dilakukan jika anda menggerakkan cengkaman anda keseluruhan pemegang raket dengan mudah.
No comments:
Post a Comment