Sunday, January 20, 2013

Peng Soon-Liu Ying intai gelaran sulung

BEREGU campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying melakar sejarah tersendiri apabila mara buat pertama kalinya ke final Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia 2013 semalam.
Kejayaan tersebut hadir selepas beregu yang menduduki ranking ketiga dunia itu menewaskan Robert Mateusiak-Nadiezda Zieba 12-21, 21-18, 21-16 pada aksi separuh akhir di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
"Ya, ini kali pertama kami mara ke final pada Terbuka Malaysia. Kejayaan terbaik kami sebelum ini adalah mara separuh akhir tahun lalu selepas tewas kepada beregu China (Zhang Nan-Zhao Yun Lei).
"Tahun ini mereka (beregu China) tidak datang tetapi halangan untuk menang juga sukar kerana pasangan Denmark (Joachim Fischer Nielsen-Christinna Pedersen) sangat kuat," kata Peng Soon semalam.
Peng Soon-Liu Ying dipaksa bekerja keras dan mengambil masa satu jam tiga minit untuk menundukkan pasangan Poland itu.
Meskipun bermula agak hambar pada set pertama, Peng Soon-Liu Ying berjaya mengembalikan rentak permainan sebenar mereka sebelum menyingkirkan beregu yang menghuni ranking kelapan dunia itu.
"Mungkin kami rasa terlalu yakin pada set pertama sehingga menyebabkan mereka menguasai permainan.
"Kami terlalu tergopoh-gapah sehingga menjadikan perlawanan ini agak tertekan," kata Peng Soon.
Liu Ying turut mengakui corak permainan mereka tidak mencapai standard sebenar pada set pertama.
"Saya rasa saya yang terlalu cemas, perlawanan juga sukar dan mereka menjadi semakin kuat dan selesa.
"Jadi saya cuba mengurangkan tekanan supaya Mateusiak-Zieba lebih mengikut rentak permainan kami," tambahnya.
Peng Soon-Liu Ying akan menentang Nielsen-Pedersen yang turut mara ke final selepas mereka menundukkan Preveen Jordan- Vita Marissa dari Indonesia 21-14, 21-17 semalam.

Kosmo

No comments:

Post a Comment