Monday, January 14, 2013

Permulaan bergaya


CHONG WEI meraih gelaran pertamanya musim ini selepas muncul juara pada Terbuka Korea semalam.


JAGUH negara, Datuk Lee Chong Wei membuka tirai kalendar 2013 penuh bergaya selepas merekodkan kejuaraan sulung pada Kejohanan Badminton Siri Super Premier Terbuka Korea.
Kejayaan itu hadir selepas dia melakar kemenangan ke atas pemain China, Du Pengyu 21-12, 21-15 pada aksi final yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan semalam.
Sebagai rekod, ia merupakan kejuaraan kedua berturut-turut buat pemain No. 1 dunia itu selepas dia berjaya bergelar juara tahun lalu.
Sebelum itu, Chong Wei turut menggenggam trofi kejuaraan Terbuka Korea pada 2010.
Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock memuji corak permainan yang dipamerkan Chong Wei yang tampil dengan aksi penuh bertenaga selain fokus terhadap lawannya yang menghuni ranking kelima dunia.
“Chong Wei beraksi dengan baik dan dia berjaya memberikan fokus sepenuhnya dalam perlawanan (final) tersebut. Itu yang membuatkan dia tenang merencanakan serangan ke atas Pengyu,” kata Seu Bock ketika dihubungi Kosmo! di Seoul semalam.
Menurut Seu Bock, kejuaraan tersebut sudah pasti memberi tonik terbaik buat Chong Wei dalam misi merekodkan kejuaraan kesembilan pada Terbuka Malaysia yang akan bermula esok.
“Saya harap dia boleh mengekalkan konsistensinya seperti mana yang ditunjukkan pada Terbuka Korea kali ini. Saya percaya, jika dia boleh melakukannya, dia akan bergelar juara pada Terbuka Malaysia,” kata Seu Bock.
Chong Wei yang tampil pada musim 2013 dengan imej serba putih, sudah lapan kali bergelar juara Terbuka Malaysia bermula pada 2004, 2005, 2008, 2009, 2010, 2011 dan 2012.
Dia yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan akan memulakan cabaran pada Terbuka Malaysia menentang Viktor Axelsen dari Denmark pada aksi pusingan pertama.
Terbuka Malaysia akan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil bermula esok hingga Ahad ini.

Kosmo

No comments:

Post a Comment