|
DATUK Lee Chong Wei sememangnya sudah banyak berkorban bagi mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Pelbagai kejayaan telah dilakar jaguh badminton dunia itu dan semuanya untuk negara.
Kali ini, dia sekali lagi terpaksa berkorban bagi memastikan sandaran
yang diletakkan di bahunya untuk membawa pulang pingat emas pertama
Sukan Olimpik 2012 di London, Julai depan berjaya direalisasikan.
Meskipun dihantui masalah kecederaan serius di bahagian buku lali
kanan, Chong Wei tetap menjalani latihan sebagai persiapan menghadapi
temasya berprestij dunia itu di bumi London nanti.
Jurulatih perseorangan negara, Tey Seu Bock berkata, tiada istilah
rehat buat pemain No. 1 dunia itu, sebaliknya dia akan tetap menjalani
latihan ringan bagi mengekalkan tahap kecergasannya.
Katanya, mahu atau tidak, Chong Wei terpaksa mengharungi situasi
tersebut bagi memastikan dirinya kekal cergas sebelum Sukan Olimpik
membuka tirainya pada 27 Julai depan.
“Saya akan berbincang dengan pihak ISN (Institut Sukan Negara) bagi
mengetahui lebih lanjut tentang kaedah terbaik buat Chong Wei untuk
menjalani latihan ringan. Apa yang ISN kata boleh buat, saya akan buat
dan begitu juga sebaliknya.
“Chong Wei masih boleh berdiri dan itu merupakan petanda yang cukup
positif. Jika dia tidak boleh menggunakan kaki, kita akan fikirkan cara
lain untuk menjalani latihan iaitu menggunakan anggota badannya yang
lain.
“Mungkin ramai beranggapan ia bagai satu penyeksaan buat Chong Wei
tetapi dia tidak mempunyai pilihan lain dalam misi meraih pingat emas
Sukan Olimpik.
“Apa yang saya harapkan, rakyat Malaysia terus memberi sokongan
kepada Chong Wei kerana peluang untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik
tetap ada,” kata Seu Bock ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Chong Wei mengalami kecederaan di buku lali kanan ketika menentang
pemain Denmark, Peter Hoeg Gade pada aksi terakhir Kumpulan C kempen
Piala Thomas 2012 di Pusat Sukan Gimnasium Wuhan, China, Selasa lalu.
Kecederaan yang dialaminya menyaksikan dia terpaksa menarik diri daripada menyertai kempen Piala Thomas.
Pada keesokan harinya, Chong Wei pulang ke tanah air dan mendapat
rawatan daripada dua pakar ortopedik iaitu Dr. Saw Khay Yong dan Dr.
Nicholas Geary di Pusat Perubatan Sukan Kuala Lumpur (KLSMC) dan
dilaporkan akan pulih dalam masa empat minggu.
Pemain berusia 30 tahun itu akan menerima rawatan suntikan stem cell
(sel tunjang) sebanyak tiga kali iaitu kaedah yang terbaik untuk pulih
dengan cepat.
Mengulas lanjut, Seu Bock berkata, Chong Wei berkemungkinan besar
akan keluar daripada KLSMC hari ini setelah menerima suntikan stem cell
keduanya.
“Jika esok (hari ini) dia dibenarkan keluar daripada KLSMC, dia akan
diberikan rehat satu hari pada Rabu (esok) sebelum menjalani proses
pemulihan di ISN pada Khamis dan Jumaat.
“Bermula Isnin, dia akan kembali menjalani latihan. Mungkin minggu
pertama dia akan menghabiskan masa menjalani latihan ringan di gimnasium
bagi menguatkan semula otot-ototnya. Selepas itu nanti, barulah dia
akan menjalani latihan di gelanggang.
“Namun, proses latihan itu nanti akan bergantung kepada tahap kecederaannya,” jelas Seu Bock.
No comments:
Post a Comment