Wednesday, February 1, 2012

Paksi BAM tidak pernah berubah



BARISAN pemain yang akan menggalas cabaran negara pada kelayakan Piala Thomas 2012 di Macau.



PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tetap menganggap temasya Sukan Olimpik 2012 di London adalah lebih penting berbanding kempen Piala Thomas.
Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai berkata, memandangkan 2012 merupakan tahun berlangsungnya Sukan Olimpik, keutamaan sudah pasti perlu diberikan kepada temasya sukan paling berprestij dunia itu.
Jelas Chin Chai, pihaknya tidak mahu memberikan tekanan kepada barisan pemain negara dengan mengatakan Piala Thomas juga penting, sekali gus boleh menjejaskan prestasi mereka.
“Kami (BAM) tidak mahu pemain-pemain berasa tertekan. Jika kita beraksi dengan baik pada kempen kelayakan Piala Thomas dan layak ke pusingan akhir ia adalah suatu berita yang baik.
“Namun, jika gagal, tidak mengapa. Kita tidak mahu pemain-pemain terlalu memikirkan mengenai Piala Thomas sehingga menjejaskan program persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik,” kata Chin Chai pada sidang media selepas mengadakan perbincangan bersama barisan jurulatih di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
Hadir pada perbincangan tersebut ialah Pasukan Prestasi Tinggi (HPT) BAM yang diketuai Chin Chai, Datuk James Selvaraj dan Leftenan Kolonel (B) Wong Ah Jit bersama-sama ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek, jurulatih perseorangan, Tey Seu Bock, ketua jurulatih beregu lelaki, Tan Kim Her serta ketua jurulatih beregu wanita, Rexy Mainaky.
Ah Jit turut senada dengan Chin Chai sambil menegaskan bahawa temasya Olimpik yang dijadualkan berlangsung pada Julai depan harus diberi keutamaan.
“Sukan Olimpik dianjurkan setiap empat tahun sekali, manakala Piala Thomas pula setiap dua tahun sekali.
“Dalam tempoh empat tahun itu, pasti Sukan Olimpik dan Piala Thomas akan berlangsung pada tahun yang sama. Jadi kita perlu membuat pemilihan untuk memberi keutamaan kepada yang mana satu.
“Untuk kali ini, kita beri keutamaan kepada Sukan Olimpik. Dua tahun selepas ini, kita akan kembali fokus kepada Piala Thomas pula. Jadi kita tetap ada peluang untuk menang Piala Thomas,” tambah Ah Jit.
Bagaimanapun, Ah Jit menjelaskan, BAM tetap mengambil berat bagi menghadapi saingan Piala Thomas.
“Jika tidak, tidak perlulah BAM membuat latihan pusat sebagai persiapan semua. Kami masih merancang rapi persiapan bagi saingan Piala Thomas,” jelasnya.
Sebelum ini, BAM dikritik hebat oleh pemerhati sukan tanah air yang meluahkan rasa tidak puas hati mereka apabila persiapan skuad negara dilihat lebih menjurus kepada temasya Olimpik.
Antara yang tampil mengkritik ialah bekas pemain beregu negara, Razif Sidek yang meluahkan kekecewaannya apabila melihat persiapan yang dilakukan BAM bagi menghadapi kempen Piala Thomas.
Jelasnya, BAM ternyata lebih mementingkan Sukan Olimpik berbanding Piala Thomas yang sepatutnya perlu ada keseimbangan bagi menghadapi kedua-dua kejohanan tersebut.
Malah, Razif mendesak baik jurulatih, Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) mahupun HPT meletak jawatan sekiranya skuad negara gagal melangkah ke pusingan akhir Piala Thomas di Wuhan, China Mei depan

Kosmo!

No comments:

Post a Comment