Tuesday, June 5, 2012

Lupakan Indonesia

KEJOHANAN pemanas badan paling kompetitif sebelum temasya Sukan Olimpik bermula iaitu Siri Super Premier Terbuka Indonesia terpaksa dilupakan pemain nombor satu negara Datuk Lee Chong Wei kerana masih jauh untuk pulih daripada kecederaan buku lali yang dialami pada Piala Thomas lalu.
Jurulatih perseorangan Tey Seu Bock berkata, proses pemulihan pemain itu belum mencapai tahap optimum yang membolehkannya beraksi di pentas kompetitif.

“Chong Wei tidak akan ke Indonesia kerana belum bersedia dan tiada lagi kejohanan pemanas badan untuknya menjelang Olimpik,” kata Seu Bock.
Selain Chong Wei, seteru utama Lin Dan dari China juga mengelak daripada aksi di Indonesia, sebaliknya mengambil keputusan untuk bermain di Terbuka Thailand minggu ini.

Dalam pada itu, Chong Wei mula turun menjalani latihan di gelanggang buat kali pertama semalam, namun sekadar menjalani latihan ringan.

“Chong Wei sudah turun ke gelanggang hari ini (semalam) tapi dia hanya berlatih melakukan pukulan. Dia tidak bergerak di gelanggang, sekadar berdiri di tempat sama. Kami cuma mahu pastikan kemahiran tangannya tidak berkarat jika dia boleh beraksi di Olimpik nanti.

“Apapun latihan ini bukan satu kemestian kerana Chong Wei tertakluk kepada latihan pemulihan di bawah pemantauan ahli fisioterapi Sandra Fiedler. Jika dia rasa mampu dan tidak keletihan, dia akan berlatih di gelanggang.,” katanya.

Metro

No comments:

Post a Comment