Tuesday, July 17, 2012

Janji raih pingat: Kim Her

TAN Kim Her yakin situasi terkini beregu lelaki negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang menjalani latihan pusat di Universiti Bath, London, menjanjikan satu pingat pasti dibawa pulang.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara itu berkata, latihan di Bath dilakukan seperti biasa namun paling penting keadaan pemainnya itu berada di tahap terbaik ketika ini.

“Kalau mereka mengekalkan keadaan, saya yakin peluang meraih pingat amat baik sekali,” kata Kim Her.
Begitupun, selepas banyak peluang diberikan kepada gandingan itu hinggakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak meletakkan sebarang sasaran kecuali di temasya Olimpik, sasaran sekadar membawa pulang pingat meskipun bukan emas, menggambarkan jurulatih itu sebenarnya tidak cukup yakin dengan persiapan yang dilakukan.

“Semuanya bergantung kepada keadaan pemain pada hari pertandingan, siapa berani mengeluarkan permainan mereka dan mempunyai kekuatan mental, peluang meraih pingat amat tinggi.” Kim Her mengecilkan skop pencabar yang mampu menggugat peluang gandingan negara itu dengan memilih lawan dari China, Korea dan Denmark sebagai berbahaya.

“Kami memang fokus kepada beberapa gandingan, namun paling penting adalah memastikan keadaan mereka kekal di tahap terbaik selain mengelakkan masalah kecederaan atau demam,” kata Kim Her lagi.

Latihan skuad badminton negara di Bath bermula 13 Julai selepas bertolak dari Kuala Lumpur pada 12 Julai lalu. Mereka turut diiringi sokongan petugas Institut Sukan Negara (ISN) bagi memastikan semua pemain beraksi di Olimpik London mencapai kemuncak prestasi.

No comments:

Post a Comment