Sunday, June 17, 2012

Beregu Utama Negara Kandas



KIEN KEAT (kiri) dan Boon Heong gagal melayakkan diri ke final Siri Super Premier Terbuka Indonesia selepas tewas kepada Mathias Boe-Carsten Mogensen semalam.


BEREGU utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong terkandas pada aksi separuh akhir Siri Super Premier Terbuka Indonesia di Stadium Istora Senayan, Jakarta semalam.
Kien Keat-Boon Heong yang beraksi cemerlang pada perlawanan-perlawanan sebelum ini tewas 15-21, 11-21 dalam tempoh 36 minit kepada jaguh badminton dari Denmark, Mathias Boe-Carsten Mogensen.
Kekalahan ini adalah yang ketiga berturut-turut buat beregu negara yang menduduki ranking kelapan dunia ini kepada Mathias Boe-Carsten Mogensen (ketiga dunia) sejak ditewaskan pada Kejohanan Seluruh England 2011 di Birmingham, London.
Malah, aksi yang hambar itu turut mencacatkan persediaan kem negara yang sedang membuat persiapan bagi menghadapi aksi yang lebih berprestij pada tahun ini iaitu temasya Sukan Olimpik 2012 di London yang akan membuka tirai pada 27 Julai depan.
Ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her akui taktikal yang dipamerkan oleh Mathias Boe-Carsten Mogensen telah mengikat pergerakan anak-anak buahnya itu.
“Saya lihat Denmark mengawal perlawanan tadi (semalam) tetapi kemaraan Kien Keat-Boon Heong ke separuh akhir telah mencapai sasaran,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bagaimanapun, Kim Her berasakan keyakinan yang dipamerkan gandingan utama negara pada kejohanan terakhir sebelum menghadapi cabaran penting di London semakin bertambah baik.
Ini kerana pasangan tersebut berjaya menebus kembali kekalahan kepada beregu Indonesia, Angga Pratama-Ryan Agung Saputra yang sebelum ini menewaskan mereka pada kejohanan Terbuka India di New Delhi, April lalu.
“Kekecewaan yang dialami selepas tewas pada Piala Thomas, Mei lalu semakin dapat dilupakan. Malah, Kien-Keat-Boon Heong juga berjaya menewaskan beregu Indonesia pada pusingan pertama.
“Namun, apa-apa pun boleh berlaku kepada mereka dalam tempoh yang singkat sebelum bermulanya Olimpik, kerana keutamaan sebenar hanya tertumpu kepada Olimpik,” jelasnya.
Malah, Kim Her turut memberitahu, tempoh 41 hari sebelum bermulanya Sukan Olimpik akan digunakan untuk memperbaiki taktik permainan skuad negara.
“Dalam tempoh yang ada ini dan undian Sukan Olimpik pun masih belum keluar, jadi kami akan memberikan tumpuan untuk mencari taktik yang lebih baik untuk menandingi beregu dari China, Korea Selatan dan Denmark.
“Keyakinan sudah semakin pulih, jadi tumpuan mungkin boleh diberikan kepada taktikal, fizikal dan mental kerana setiap pencabar tersebut mempamerkan gaya permainan yang berbeza,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment