Wednesday, June 6, 2012

‘Tiada peluang kedua’

Tan Sri Elyas Omar
BEKAS Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Elyas Omar berkata BAM tidak layak mendapat peluang kedua kerana sudah terlalu kerap mengulangi kegagalan.
Jelas beliau yang memimpin persatuan sehingga membawa pulang trofi Piala Thomas 1992 itu, BAM seharusnya bertanggungjawab dan dipertanggungjawabkan “responsible and accountable.” “Kalau sudah 12 tahun tak dapat apa-apa, kenapa nak beri peluang lagi. Sepatutnya sebagai pemimpin, kita hanya boleh memimpin paling lama enam tahun, jika tiada kejayaan, letak jawatan dan beri peluang pada orang lain,” kata Elyas yang ditemui di Majlis Olimpik Malaysia semalam.

Kenyataan Elyas itu merujuk kepada Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh, namun beliau tidak menyalahkan presiden semata-mata, sebaliknya barisan kepimpinan BAM yang lain termasuk barisan Exco.
Mengulas mengenai nada terkini BAM yang mengatakan sedia menukar corak latihan pemain dan mengulangi kepentingan pembangunan peringkat akar umbi, beliau berkata: “Berdasarkan sejarah, kalau seseorang itu memimpin lebih dari 10 tahun, tidak mampu hasilkan keputusan terutamanya dalam Piala Thomas, apa lagi yang boleh kita harapkan.

“Jika selama 12 tahun tidak mampu berubah, macam mana kita nak harapkan pentadbiran sama berubah untuk dua tahun akan datang. Situasi kita sekarang bukannya berada di situasi yang baik, badminton kita sudah jatuh berguling-guling.” Beliau turut menyelar cara BAM menangani isu kejurulatihan sehingga dua jurulatih bertaraf dunia Rexy Mainaky dari Indonesia dan Yoo Yong-sung (Korea) meletak jawatan menjelang saingan Olimpik London, bulan depan.

“Pemergian Rexy dan Yong-sung adalah satu petanda buruk. Apa yang berlaku sebenarnya. Situasi ini berlaku ibarat api dalam sekam, siapa yang merancangnya kita tidak tahu, mereka bersembunyi,” kata Elyas.
Ketika diminta pandangan mengenai alasan Nadzmi yang mendakwa berjaya membawa masuk banyak dana berbanding defisit kewangan ketika mengambil alih tampuk itu, bagi menutup kegagalan prestasi badminton negara, beliau berkata: “Tugas presiden adalah membelanjakan dana itu dengan cara terbaik bukannya mencari dana. Apa yang nak dibanggakan dengan adanya dana besar tapi tiada kejayaan.

“Mereka kata ada banyak wang tapi tiada program dan kejayaan, apa yang mereka buat, mereka tidur ke?.” Ketika diminta mengulas mengenai beberapa Exco BAM yang menggunakan alasan ‘orang luar’ dengki dan berniat mahu masuk ke dalam persatuan itu setiap kali kenyataan pedas membidas badan induk itu di dada akhbar, Elyas mendakwa itulah sifat negatif pemimpin yang tidak sepatutnya dibawa ke dalam pentadbiran persatuan.
“Nak jadi pemimpin, kita perlu berfikiran terbuka, mesti menerima kritikan. Kalau orang menegur dengan tujuan yang baik apa salahnya, jika mereka nak masuk sekalipun biarkan mereka masuk, jika presiden tidak suka nanti buang saja. Apa yang mereka amalkan kini tidak betul,” kata Elyas.

Metro

No comments:

Post a Comment