Putra Nilai Badminton Club is an active private club located in Putra Nilai, Negeri Sembilan Malaysia
Friday, June 29, 2012
Chong Wei percaya ada rahmat
JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui memiliki kelebihan menjelang temasya Sukan Olimpik di London bulan depan.
Menurutnya, kecederaan yang dialaminya memberi ruang kepadanya untuk berehat panjang.
Chong Wei mengalami kecederaan ketika menentang pemain Denmark, Peter Hoeg Gade pada aksi terakhir Kumpulan C Kejohanan Piala Thomas di Wuhan, China, Mei lalu.
Meskipun beliau akui cabaran yang dihadapinya pada tahun ini lebih sukar jika dibandingkan dengan Olimpik 2008, namun jaguh negara itu tetap menerimanya dengan hati yang terbuka.
“Saya masih ada tempoh sebulan lagi sebelum bermulanya Sukan Olimpik dan kecederaan yang saya alami sudah ada menunjukkan perubahan pada setiap minggu.
“Mungkin ada baiknya saya mengalami kecederaan ini kerana saya tidak rasa begitu tertekan ketika menjalani latihan dan mengharapkan yang terbaik pada temasya Olimpik kelak.
“Saya tidak boleh nafikan yang saya juga masih fobia dan rasa takut (ketika berlatih), namun saya perlu menguatkan mental dalam waktu sebulan ini,” katanya.
Bagaimanapun, Chong Wei optimis musibah yang dihadapinya ketika direhatkan dan terlepas beberapa kejohanan seperti Siri Super Premier Terbuka Indonesia dan Terbuka Singapura baru-baru ini tidak menutup peluangnya untuk membawa pulang pingat dari London.
“Dua bulan tanpa kejohanan juga memberi kelebihan kepada saya kerana mungkin pada kejohanan tersebut saya akan mengubah taktik permainan saya.
“Malah, para pencabar pun tidak dapat menganggarkan corak permainan saya pada Sukan Olimpik nanti,” jelas Chong Wei.
Chong Wei yang sekadar merangkul pingat perak selepas tewas kepada pemain No. 1 dunia, Lin Dan pada aksi final Sukan Olimpik Beijing 2008 yakin beliau mampu mencipta kejayaan yang lebih baik tahun ini.
“Empat tahun lepas saya menewaskan Lin Dan pada aksi Piala Thomas dan saya tidak sangka pada cabaran Olimpik dia dapat beraksi dengan sangat baik,” tambahnya.
Sementara itu, Chong Wei turut memberitahu, kedudukan rankingnya kini yang berada di tangga kedua juga tidak menjejaskan semangat- nya untuk memburu kejayaan di London.
“Bagi saya ranking hanya angka sahaja dan saya berharap ia tidak akan mengganggu konsentrasi saya untuk membuat persiapan ke Olimpik tahun ini.
“Perkara yang paling sukar bagi saya ialah untuk mengekalkan ranking pertama di dunia. Tetapi saya tidak akan memikirkannya kerana fokus saya hanya mahu memberikan yang terbaik pada Olimpik nanti.”
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment