Putra Nilai Badminton Club is an active private club located in Putra Nilai, Negeri Sembilan Malaysia
Thursday, June 21, 2012
Chong Wei hampir berputus asa
JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui yang beliau pernah berasa berputus asa dan mahu melupakan aksi pada temasya Sukan Olimpik 2012 di London bulan depan.
Chong Wei berkata, segala-galanya berpunca daripada kecederaan serius di bahagian buku lali kanan yang dialaminya ketika beraksi pada kempen Piala Thomas 2012 di Wuhan, China bulan lalu.
"Tidak ada siapa yang tahu sejauh mana tahap kesakitan yang saya rasakan selepas mengalami kecederaan ini. Hanya saya yang mengetahui apa yang saya lalui.
"Ada suatu ketika apabila saya duduk di tepi gelanggang selepas selesai menjalani latihan, saya berasa berputus asa dan tidak mahu beraksi pada Sukan Olimpik.
"Situasi ini memang terlalu sukar buat saya," kata Chong Wei ketika sidang akhbar bagi menjelaskan perkembangan mengenai proses pemulihan terhadap kecederaan yang dialaminya di Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Pada Mac lalu, Chong Wei turut menerima tamparan hebat selepas dia gagal mempertahankan kejuaraan Seluruh England apabila terpaksa menarik diri ketika aksi final menentang seteru utamanya dari China, Lin Dan ekoran mengalami masalah kecederaan di bahagian bahu.
Bagaimanapun, pemain berusia 30 tahun itu menjelaskan bahawa dia tidak mempunyai pilihan lain selain meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan dalam misi memburu pingat emas pada Sukan Olimpik 2012.
Jelasnya, dia perlu 'berperang' dengan psikologi diri sendiri selain kuat dari aspek mental bagi melakukan persiapan tatkala kurang sebulan sahaja lagi temasya berprestij dunia itu membuka tirainya.
"Saya terpaksa mengharungi jadual latihan yang padat. Pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat saya ada tiga sesi latihan sehari dan ini memang sukar buat saya, apatah lagi masih belum pulih sepenuhnya.
"Letih memang letih tetapi apa yang boleh saya buat. Saya perlu juga menghadapinya kerana Sukan Olimpik sudah semakin hampir.
"Saya perlu fokus dan yakin dengan diri sendiri. Saya tahu rakyat Malaysia semua bimbang dengan kecederaan saya ini tetapi saya berjanji akan memberikan aksi terbaik pada Sukan Olimpik nanti.
"Bukan mudah untuk beraksi dalam kejohanan besar seperti Sukan Olimpik. Seperti yang saya katakan, mental kena kuat. Ini adalah tanggungjawab saya kepada negara," jelas Chong Wei.
Tambahnya, dia akan menyertai latihan fasa terakhir skuad badminton negara sebagai persiapan ke Sukan Olimpik 2012 di Universiti Bath, United Kingdom bermula 12 Julai
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment