Tuesday, June 12, 2012

'Chong Wei boleh atasi masalah dengan baik'


CHONG Wei terus diundang dugaan dalam persiapannya menghadapi Sukan Olimpik 2012.


“DIA (Datuk Lee Chong Wei) boleh mengatasi masalah ini dengan baik.”
Demikian jelas jurulatih perseorangan badminton negara, Tey Seu Bock ketika diminta mengulas mengenai situasi terbaharu yang dialami pemain perseorangan No. 1 dunia itu.
Terdahulu, Chong Wei menerima tamparan hebat dalam persiapan menghadapi temasya Sukan Olimpik 2012 di London bulan depan apabila dikejutkan dengan berita bapanya, Lee Ah Chai, 59, cuba membunuh diri di Jambatan Pulau Pinang kelmarin.
Meskipun mengakui bahawa situasi tersebut sedikit sebanyak mampu menjejaskan persiapan Chong Wei, Seu Bock tetap yakin anak didiknya itu mampu menangani segala masalah yang dihadapinya dengan baik.
“Perkara ini merupakan masalah peribadi Chong Wei kerana ia melibatkan hal keluarga. Jadi, berilah dia ruang untuk menyelesaikan masalah tersebut.
“Saya pun belum berjumpa dengan Chong Wei lagi selepas peristiwa yang menimpa bapanya itu. Kali terakhir ketika sesi latihan Sabtu lalu.
“Jadi, biarlah dia selesaikan dahulu masalahnya itu. Sebaik selesai semuanya, saya percaya dia akan kembali fokus untuk beraksi pada Sukan Olimpik,” kata Seu Bock ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurut Seu Bock, apa yang paling penting buat pemain No. 1 dunia itu ialah kekal positif mengenai peluang untuk membawa pulang pingat emas pertama buat kontinjen Malaysia di bumi London nanti.
“Saya mahu dia anggap ini semua dugaan yang perlu dihadapinya dalam usaha untuk meraih pingat emas Sukan Olimpik.
“Memang situasi yang dialaminya ketika ini mampu menjejaskan persia- pannya tetapi peluang tetap ada.
“Tidak ada yang mustahil buat Chong Wei dan dia perlu menganggap ada hikmah di sebalik segala dugaan yang dihadapinya,” jelas Seu Bock.
Berita mengenai bapanya cuba untuk membunuh diri kelmarin merupakan dugaan kali ketiga yang dialami Chong Wei sepanjang persiapannya menghadapi Sukan Olimpik 2012.
Pada Mac lalu, dia gagal mempertahankan kejuaraan Seluruh England apabila terpaksa menarik diri ketika aksi final menentang seteru utamanya dari China, Lin Dan ekoran mengalami masalah kecederaan di bahagian bahu.
Ini diikuti kecederaan buku lali kanan yang dialaminya ketika menentang Peter Hoeg Gade dari Denmark pada kempen Piala Thomas 2012 di Wuhan, China bulan lalu.
Chong Wei kini dalam proses pemulihan daripada kecederaan buku lali itu bagi membolehkan dia beraksi pada Sukan Olimpik 2012.

No comments:

Post a Comment