Friday, April 15, 2011

Drama Misbun bersambung?

Oleh HELMI TALKAH

BERAPA lama agaknya kali ini Datuk Misbun Sidek akan mengambil masa bagi membuat keputusan berhubung kontrak baru yang telah ditawarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kepada beliau?
Jika sebelum ini jurulatih perseorangan negara itu memerlukan tempoh tiga bulan untuk membuat keputusan kembali semula ke pangkuan BAM, tidak mustahil skrip yang sama bakal berulang.
Menurut Setiausaha Kehormat BAM, Ng Chin Chai, badan induk tersebut telah pun menyerahkan kontrak baru kepada Misbun dan beliau diberikan tempoh sehingga 27 April depan bagi menyatakan persetujuannya sama ada menerima ataupun sebaliknya.
"Kami (BAM) telah menyerahkan kontrak baru itu kepada Misbun dan kini terpulang kepada beliau sama ada mahu menerimanya ataupun tidak.
"Kami juga memintanya membuat keputusan sebelum mesyuarat Exco BAM diadakan pada 28 April kerana segala keputusan nanti akan dibincangkan pada mesyuarat tersebut," kata Chin Chai ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sehingga semalam, Chin Chai turut mengesahkan bahawa pihaknya masih belum menerima sebarang keputusan daripada Misbun.
"Sehingga hari ini (semalam), kami masih belum menerima sebarang jawapan daripada Misbun.
"Kami akan tetap menunggu kerana masih ada lagi masa buat Misbun untuk membuat keputusan dan diharapkan beliau akan tampil dengan sesuatu yang positif," jelas Chin Chai.
Ditanya apakah kemungkinan yang bakal berlaku sekiranya Misbun tidak memberikan sebarang jawapan sebelum 28 April depan, Chin Chai menjawab: "Perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco nanti.
"Buat masa ini, saya tidak boleh memberikan sebarang komen mengenai hal tersebut kerana apa-apa keputusan hanya boleh dibuat dengan persetujuan kesemua barisan Exco sahaja," ujarnya.
Difahamkan, kontrak baru yang ditawarkan kepada Misbun itu bakal menyaksikan beliau menjadi jurulatih kepada skuad pelapis negara dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain yang mampu diketengahkan di pentas antarabangsa.
Misbun menggegarkan arena sukan badminton tanah air selepas secara mengejut menyerahkan surat peletakan jawatannya pada 31 Disember tahun lalu.
Namun, BAM telah meminta beliau kembali mempertimbangkan keputusan yang dibuatnya itu yang mana menyaksikan kemelut tersebut berlanjutan sehinggalah segala-galanya berakhir minggu lalu.

No comments:

Post a Comment