Sunday, August 5, 2012

China sekat kemaraan Koo-Tan



KIEN KEAT (kiri) dan Boon Heong akan beraksi pada aksi penentuan pingat gangsa hari ini selepas kecundang dalam saingan suku akhir di Arena Wembley semalam.



BEREGU negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong tidak mempunyai pilihan kecuali menang ke atas beregu Korea Selatan, Chung Jae Sung-Lee Yong Dae dalam perebutan pingat gangsa acara beregu lelaki Sukan Olimpik 2012 London hari ini.
Semalam, Kien Keat-Boon Heong tewas tewas 9-21, 19-21 kepada pasangan China, Cai Yun-Fu Haifeng pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Arena Wembley.
Kien Keat-Boon Heong yang turun berbekalkan keyakinan tinggi untuk mengulangi gaya ketika mereka menewaskan pasangan Thailand, Isara Bodin-Jongjit Maneepong di suku akhir dua hari lalu, bagaimanapun terperangkap dengan permainan pantas Cai Yun-Haifeng sehinggakan satu ketika ketinggalan 4-11.
Cai Yun-Haifeng terus mempamerkan keyakinan untuk menutup set pertama dengan kemenangan 21-9 selepas Kien Keat-Boon Heong kerap melakukan kesilapan yang memberikan lawan mereka mata mudah.
Begitupun, beregu negara itu cuba melawan pada set kedua dengan hantaran lebih kemas serta permainan jaring dengan saling bertukar mata.
Namun ketika kedua-duanya seperti tidak bermaya pada kedudukan 13-16, China pula melakukan banyak kesilapan ketika kedudukan terikat 19-16 dan memberi ruang kepada beregu negara untuk merapatkan jurang kepada 19-20 sebelum China mengesahkan kemenangan 21-19.
"Ketika mahu memasuki gelanggang, kami cuma berfikir macam mana nak main. Namun, set pertama kami tidak mampu berbuat apa-apa kerana pertahanan mereka bagus dan dapat mematahkan setiap serangan kami.
"Kami cuba bangkit pada set kedua, namun ketika permainan terikat 13-16, mereka (Cai Yun-Haifeng) banyak melakukan kesilapan.
"Kami cuba memperbaiki permainan dan berjaya merapatkan jurang mata, namun tidak bernasib baik," katanya.
Sementara itu, jurulatih beregu negara, Tan Kim Her berkata, beliau tidak menyangka China mengubah taktik permainan daripada biasa pada saat-saat akhir sehingga mudah memerangkap pergerakan Kien Keat-Boon Heong.
"Kami ada menonton rakaman video untuk melihat permainan mereka tetapi kami tidak menyangka mereka (China) mengubah gaya permainan dengan hantaran laju ke depan dan belakang.
"Itu menyebabkan pemain kita keliru. Masa itu saya arahkan beregu kita ubah permainan terbuka dengan mengawal lebih banyak bola di kiri dan kanan gelanggang.
"Saya harap Koo-Tan dapat melakukan yang terbaik esok (hari ini) dalam perebutan pingat gangsa)," katanya

No comments:

Post a Comment