Sunday, August 5, 2012

Final pasti menggiurkan

Lee Chong Wei
                                                          Lee Chong Wei
AKSI menggiur dan mendebarkan pasti menjadi hidangan final perseorangan lelaki ketika jutaan rakyat Malaysia menaruh harapan agar Lee Chong Wei akhirnya mengatasi kemarau pingat emas yang dinanti-nantikan itu.
Menanti di antara Chong Wei dan kilauan emas itu adalah musuh ketatnya, Lin Dan dari China yang sedia untuk melebarkan dominasinya ke atas pemain negara itu dalam perlawanan yang akan berlangsung pada jam 8 malam ini waktu Malaysia.

Pertemuan itu dilihat sebagai peluang terbaik buat Chong Wei untuk memperbetulkan keadaan selepas tumpas kepada Lin Dan di Beijing empat tahun lalu.
Lebih menarik, Chong Wei juga akan berdepan dengan peluang untuk membalas kembali kekecewaan tumpas kepada Lin Dan di final Kejohanan Dunia tahun lalu di gelanggang sama, Wembley Arena.

“Sekarang saya membawa harapan seluruh rakyat Malaysia untuk menghadiahkan pingat. Perak sudah pasti tapi saya mahukan warna yang lebih bagus. Saya berjanji kali ini saya akan menang emas. Itu motivasi saya,” kata Chong Wei sambil mengakui pertemuan dengan Lin Dan acap kali berakhir dengan sengit.

Bagaimanapun, pemain nombor dua dunia itu mengakui yang ketika tewas kepada Lin Dan di China, dia beraksi di gelanggang dan dalam suasana yang memang dibentuk supaya sentiasa memihak kepada pencabarnya itu.

“Tapi, sekarang saya sudah bersedia. Walaupun tidak yakin mara ke final kerana kecederaan dua bulan lalu, tapi peluang ini akan saya gunakan untuk sepenuhnya. Saya harap seluruh rakyat Malaysia akan mendoakan untuk saya,” katanya yang akan menjadikan Olimpik London ini sebagai penyertaan terakhirnya.

Jika Chong Wei membawa pulang emas yang dinanti-nantikan itu, dia akan menerima pelbagai ganjaran, termasuk RM2 juta, masing-masing RM1 juta dalam bentuk insentif kerajaan dan daripada syarikat perabut, 3V Holdings Berhad.
Dia juga bakal menerima jongkong emas seberat 12.5kg yang berharga RM2 juta selain pencen bulanan bernilai RM5,000.

Apapun, sebelum memikirkan soal ganjaran dan anugerah, Chong Wei harus terlebih dulu menewaskan Lin Dan yang rekod mereka kini berada di kedudukan 24-10, memihak kepada pemain China itu.

No comments:

Post a Comment