Thursday, July 21, 2011

Gelaran dunia tetap jadi sasaran Chong Wei


GELARAN pada Kejohanan Badminton Dunia merupakan satu-satunya gelaran yang masih belum berada dalam koleksi Chong Wei.


JAGUH badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei berazam untuk mencapai gelaran pertama pada Kejohanan Badminton Dunia 2011 yang akan berlangsung di London pada 8 hingga 14 Ogos ini.
Pemain berusia 29 tahun itu menjelaskan peluang untuk beliau memenangi kejuaraan sulung pada kejohanan berprestij dunia itu kini lebih cerah berbanding tahun lalu.
"Saya memiliki keyakinan disebabkan sudah melakukan persiapan yang lebih baik dan berpeluang mengadakan latihan di London untuk selama dua minggu sebelum Kejohanan Dunia bermula.
"Dengan memenangi hampir semua perlawanan pada Kejohanan Siri Super sebelum ini, saya lihat peluang untuk menggenggam kejuaraan pertama nampaknya lebih cerah.
"Saya anggap latihan awal di London sedikit sebanyak boleh menyesuaikan diri saya dengan keadaan cuaca di sana sebelum kejohanan sebenar berlangsung.
"Cuma saya tidak mahu fikirkan soal tekanan. Saya hanya ingin fokus dan melakukan yang terbaik," katanya ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian sebagai juru cakap Kolej Universiti Damansara Utama (KDU), Petaling Jaya semalam.
Pemain No. 1 dunia itu dilantik sebagai juru cakap KDU untuk tempoh dua tahun bermula bulan ini hingga Jun 2013.
Turut hadir ialah Pengerusi Eksekutif KDU, Datuk Teo Chiang Quan, Ketua Pegawai Eksekutif KDU, Datin Teh Geok Lian dan Naib Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ir. Mohamad Al-Amin Abdul Majid.
Sementara itu, Chong Wei meluahkan rasa lega kerana kecederaan belakang yang dialami ketika Kejohanan Dunia di Paris tahun lalu hampir sembuh.
"Buat masa ini, kecederaan saya masih belum pulih sepenuhnya, tetapi saya ada dua minggu lebih lagi untuk melakukan persediaan. Harap semua baik dalam waktu terdekat," jelas Chong Wei.
Dalam perkembangan lain, Teo memberitahu, Chong Wei dipilih sebagai juru cakap KDU kerana beliau melakar banyak kejayaan dalam sukan badminton selain menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.
"Umum mengetahui bahawa Chong Wei semakin dikenali sejak tiga tahun lalu kerana sering mengangkat nama negara dalam badminton sehingga beliau digelar pemain No. 1 dunia.
"Justeru, kami ingin menghubungkan Chong Wei dan KDU untuk menaikkan semangat para pelajar di sini bagi mencapai kejayaan cemerlang sebaik sahaja menamatkan pengajian.
"Pemilihan Chong Wei sebagai juru cakap KDU juga dilihat mampu menarik perhatian orang luar untuk mendapatkan pendidikan di KDU yang menawarkan pelbagai kursus menarik.
"Kami anggap Chong Wei sebagai hero Malaysia yang masih menebal dengan sikap merendah diri dan tidak mudah berputus asa. Beliau ialah ikon terbaik untuk KDU," ujar Teo.

No comments:

Post a Comment