Friday, May 18, 2012

BAM tampil skrip berbeza

SEHARI selepas bekas jurulatih beregu badminton lelaki negara, Yoo Yong-sung mendedahkan punca dia meletak jawatan, semalam giliran Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pula tampil dengan skrip berbeza.
Pada satu sidang akhbar khas di Sri Hartamas, Kuala Lumpur kelmarin, Yong-sung menjelaskan, keputusannya meletak jawatan adalah disebabkan BAM tidak membenarkannya melatih pemain yang sama secara tetap dan bukannya soal gaji.
Bagaimanapun, pendedahan mengejut yang dibuat Yong-sung itu dinafikan oleh Pengurus Besar BAM, Kenny Goh ketika ditemui pemberita di pejabat BAM di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.
Menurut Kenny, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu telah diberi peranan untuk melatih gandingan muda negara, Teo Ee Yi-Nelson Heg Wei Keat secara tetap dua bulan sebelum tempoh percubaannya tamat.
“Pada awal pelantikan Yong-sung, BAM telah meletakkan tempoh percubaan selama enam bulan kepada beliau.
“Memang pada awalnya Yong- sung tidak ada pemain tetap untuk dilatih tetapi dalam hal ini, BAM menyerahkan segala keputusan dibuat oleh Tan Kim Her (ketua jurulatih beregu lelaki negara). Mungkin Kim Her ada perancangannya yang tersendiri.
“Namun, dua bulan sebelum tamat tempoh percubaannya itu, kita telah memberi peranan kepada Yong-sung untuk melatih Ee Yi-Nelson.
“Jadi, mengapa pula dia mempersoalkan BAM tidak memberikan pemain tetap untuk dilatihnya,” kata Kenny.
Menurut Kenny, kenyataan Yong- sung yang dia tidak pernah meminta kepada BAM untuk menaikkan gajinya adalah tidak benar.
“Pada awal Mac lalu, Yong-sung ada datang bertemu dengan saya dan Ng Chin Chai (Setiausaha Kehormat BAM) bagi meminta agar kadar gajinya dinaikkan dan membenarkan dia melatih pemain yang sama secara tetap.
“Namun, soal melatih pemain kami telah memaklumkan kepada Yong- sung bahawa pemain beregu lelaki sudah ditetapkan untuk jurulatih tertentu dengan ketetapan program latihan dan tugasan jurulatih bagi kejohanan antarabangsa.
“Soal gaji pula, kami telah mengadakan perbincangan semula dengan Yong-sung pada 24 April lalu yang mana dia sekali lagi meminta agar gajinya dinaikkan. Kali ini, dia meminta gaji dinaikkan sebanyak tiga kali ganda berbanding yang diterimanya ketika itu.
“Kami telah membawa perkara itu dalam mesyuarat Exco BAM pada 27 April lalu. Barisan Exco setuju untuk mengesahkan jawatannya selaku jurulatih tetapi tanpa sebarang kenaikan gaji,” jelas Kenny.
Di sebalik masalah yang timbul itu, Kenny memberitahu, komunikasi dianggap sebagai punca utama wujudnya isu tersebut.
“Saya rasa ini masalah ini timbul disebabkan faktor komunikasi. Yong-sung tidak fasih berbahasa Inggeris dan mungkin apa yang kami (BAM) maklumkan kepadanya dalam perbincangan-perbincangan sebelum ini tidak difahami sepenuhnya.
“Kami juga mengalami masalah yang sama kerana ada ketika kami juga tidak faham apa yang dikatakan oleh Yong-sung.
“BAM tidak mahu memperbesar- besarkan mengenai isu ini. Kami mahu memberi tumpuan penuh terhadap persiapan menghadapi Sukan Olimpik 2012 dan Piala Thomas yang akan bermula beberapa hari lagi.
“Apa pun, BAM mengucapkan terima kasih kepada Yong-sung atas khidmatnya selama ini,” jelas Kenny.

No comments:

Post a Comment