Saturday, May 12, 2012

Guangzhou lokasi kem negara

SKUAD Piala Thomas negara yang diketuai pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei akan berlepas ke Guangzhou, China, esok bagi melakukan persediaan akhir sebelum menghadapi kejohanan itu di Wuhan bermula 20 hingga 27 Mei ini.
Ketua jurulatih acara perseorangan lelaki, Rashid Sidek berkata, skuad negara akan menjalani latihan fasa akhir selama lima hari di wilayah Guangzhou mulai Isnin ini.

Katanya pemilihan Guangzhou disebabkan kemudahan latihan yang lengkap di sana manakala tidak mengetahui kemudahan yang disediakan penganjur pada venue kejohanan di wilayah Wuhan.
Rashid berkata, pemain dapat memberi tumpuan penuh kepada latihan di Guangzhou berbanding di Wuhan yang mempunyai gangguan daripada peminat dan kehadiran pasukan dari negara bertanding.

Beliau berkata demikian selepas majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pembekal perkhidmatan telekomunikasi, Maxis Berhad, semalam.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohd Nadzmi Mohd Salleh menandatangani perjanjian itu manakala Maxis diwakili Ketua Pegawai Kewangannya, Nasution Mohamed.
Mengikut MoA itu, Maxis akan menyokong program pembangunan BAM seperti kemudahan latihan, memberi subsidi kepada pemain, bayaran untuk jurulatih serta kos penghantaran pemain negara bertanding di pelbagai kejohanan.

Rashid turut menyuarakan keyakinan skuad negara mampu mencapai sasaran ke peringkat separuh akhir Piala Thomas berdasarkan prestasi semasa pemain dalam beberapa kejohanan sebelum ini.
“Bagaimanapun Denmark mampu menjadi penghalang kepada Malaysia untuk mara ke separuh akhir,” katanya.

Metro
(Foto: Memori 1992) 

No comments:

Post a Comment