Tuesday, October 30, 2012

Daren belum layak ganti Chong Wei - Rashid



DAREN meraih kejayaan pertamanya dalam Kejohanan Siri Super selepas muncul juara pada Terbuka Perancis kelmarin.



MASIH terlalu awal untuk melabel Liew Daren sebagai pengganti jaguh No. 1 negara, Datuk Lee Chong Wei.
Demikian tegas ketua jurulatih badminton perseorangan negara, Ra- shid Sidek (gambar kecil) semalam.
Kelmarin, Daren merekodkan kejuaraan pertama dalam kariernya apabila melakar kejutan menjuarai Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Perancis 2012.
Kejayaan itu hadir selepas dia menumbangkan bekas juara remaja dunia, Viktor Axelsen dari Denmark 21-18, 21-17 pada final yang berlangsung di Paris.
Ekoran kejayaan itu, peminat-peminat sukan badminton tanah air sudah pastinya boleh menarik nafas lega kerana selama ini mereka bimbang mengenai ketiadaan pemain berkualti bagi menggantikan Chong Wei yang juga merupakan pemain No. 1 dunia.
Bagaimanapun Rashid berkata, masih banyak yang perlu diperbaiki oleh Daren yang kini merupakan pemain perseorangan kedua terbaik negara di belakang Chong Wei bagi mengekalkan konsistensi dalam setiap kejohanan yang disertainya selepas ini.
"Daren perlu lebih fokus dan komited lagi semasa sesi latihan bagi meningkatkan prestasi permainannya. Jadi, masih terlalu awal untuk kita menilai dia sebagai pengganti Chong Wei.
"Sukar untuk saya jelaskan apa kelemahan yang perlu diperbaiki Daren tetapi yang pasti masih banyak yang perlu dilakukannya untuk berada dalam kelompok elit dunia.
"Namun secara keseluruhan, prestasinya pada Terbuka Perancis kali ini sangat membanggakan. Tiada siapa pun jangka yang dia boleh menjadi juara," kata Rashid ketika dihubungi Kosmo! di Paris kelmarin.
Menurut Rashid, kejuaraan yang dilakar Daren pada Terbuka Perancis kali ini bakal menjadi tonik terbaik untuk dia melakarkan lebih banyak kejayaan pada masa akan datang, sekali gus berada dalam kelompok pemain terbaik dunia.
"Ini (kejayaan bergelar juara Terbuka Perancis) adalah permulaan untuk Daren menjadi pemain yang lebih disegani pada masa akan datang.
"Saya harap kejayaan kali ini akan menjadi suntikan semangat buat Daren melakukan yang lebih baik dalam kejohanan seterusnya. Dia perlu bekerja keras bagi meningkatkan prestasinya.
"Jika dia mampu melakukannya, saya percaya dia boleh menjadi salah seorang pemain terbaik dunia," jelas Rashid.
Sebelum ini, Rashid mendedahkan bahawa Daren mempunyai kelemahan dari aspek mental kerana masih belum mampu mengatasi tekanan yang dihadapinya apabila berdepan situasi kritikal dalam perlawanan.
Namun, berdasarkan corak permainannya kelmarin, Daren membuktikan bahawa dia kini sudah lebih matang dan secara berperingkat-peringkat telah memperbaiki kelemahannya itu.
Lebih menarik, sepanjang laluannya ke pentas final, Daren berjaya menewaskan tiga pemain pilihan iaitu, Hu Yun (Hong Kong) pada pusingan kedua, pemain Jepun, Sho Sasaki (suku akhir) dan Jan O Jorgensen dari Denmark (separuh akhir).
Kejohanan Terbuka Perancis kali ini merupakan kemuncak terhadap peningkatan prestasi yang dipamerkan Daren dalam saingan tahun ini bermula dengan kejayaan mara ke peringkat suku akhir Seluruh England, diikuti suku akhir Terbuka Switzerland, suku akhir Terbuka Singapura dan suku akhir Terbuka Denmark minggu lalu.

No comments:

Post a Comment