Thursday, February 21, 2013

Kien Keat, Boon Heong wajib menang

Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mesti menghasilkan ‘keputusan’ pada Siri Super Perdana Seluruh England kerana kejohanan itu menjadi sasaran ditetapkan ke atas gandingan itu tahun ini, menurut ketua jurulatih beregu, Tan Kim Her.
Ini bermakna Kien Keat-Boon Heong mesti menjuarai Seluruh England selepas sekian lama tidak menjuarai kejohanan berstatus Siri Super sejak kali terakhir menjuarai Terbuka Switzerland 2009.
“Kien Keat-Boon Heong mesti berjaya di England kerana kejohanan itu dan Kejohanan Dunia menjadi sasaran tahun ini,” kata Kim Her.
Kien Keat-Boon Heong pernah menjuarai Seluruh England, 2007 dan hampir mengulanginya dua tahun lalu selepas mengejutkan gandingan China, Fu Haifeng-Cai Yun dua set tanpa balas di separuh akhir, namun mereka kalah kepada gandingan utama dunia ketika itu, Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark di final.
Laluan ke final kali ini lebih mudah jika mereka benar-benar berada di puncak prestasi kerana pemain China, Hong Wei-Shen Ye yang menundukkan mereka di pusingan kedua tahun lalu, bakal ditemui di suku akhir.
Meskipun tempat ke Kejohanan Dunia di Guangzhou, China, Ogos depan sudah pasti ditempah Kien Keat-Boon Heong dan satu lagi gandingan negara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong, Kim Her menuntut gandingan itu berusaha keras membuktikan mereka kini perlu dihormati lawan lain.
Sementara itu, beliau juga mahu Thien How-Wee Kiong merangkul kejuaraan sepanjang tahun ini kerana mereka kini dianggap gandingan elit dan tiada tekanan buat mereka kerana sudah sah beraksi di Kejohanan Dunia.
Kien Keat-Boon heong dan Thien How-Wee Kiong kini dilatih sepenuhnya oleh jurulatih dari Indonesia, Paulus Firman.
Perkembangan pemain beregu negara ketika ini turut menggembirakan Kim Her terutamanya prestasi konsisten yang dipamer Goh V Shem-Lim Khim Wah, yang berada di bawah jagaannya.

No comments:

Post a Comment