Friday, March 8, 2013

Chong Wei bergaya, beregu utama merana

Datuk Lee Chong Wei melepasi pusingan kedua Seluruh England untuk meneruskan buruan kejuaraan ketiganya, malam tadi.
Pemain nombor satu dunia itu menewaskan pemain muda China Wang Zhengming 21-17, 21-19, malam tadi.

Sementara itu penyakit lama pasangan utama negara Koo Kien Keat-Tan Boon Heong berulang lagi apabila tewas mengejut kepada lawan kurang ternama dari Thailand pada pusingan kedua Seluruh England, semalam.
Status selaku beregu nombor dua dunia itu langsung tidak menggentarkan gandingan Thailand, Maneepong Jongjit-Nipitphon Puangpuapech apabila mereka mudah menundukkan Kien Keat-Boon Heong 21-17, 21-18 hanya dalam tempoh 34 minit.

Apakah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan terus mempertahankan gandingan emas itu masih menjadi tanda tanya namun jika persembahan sama dipamerkan dalam misi mara ke final Kejohanan Dunia di Guangzhou, Ogos ini, sudah pasti ia sangat mengecewakan.

Setiausaha BAM, Ng Chin Chai yang juga pengurus skuad negara di Seluruh England berkata, Kien Keat-Boon Heong tidak beraksi pada tahap terbaik.
“Mereka tidak banyak melakukan serangan dan lambat untuk bertahan. Oleh itu lawan mereka banyak melakukan serangan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sementara itu, ketua jurulatih beregu negara, Tan Kim Her pula berkata, Jongjit-Puangpuapech sememangnya layak dipuji.
“Hari ini (malam tadi) beregu Thailand itu bermain lebih pantas di depan jaring berbanding Kien Keat. Walaupun Kien Keat dapat membalas pukulan lawan tapi malangnya mereka buat kesilapan yang memberikan mata mudah,” katanya.

Satu lagi pasangan negara, Hoon Thien How-Tan Wee Kiong bagaimanapun layak ke suku akhir selepas menewaskan beregu Jerman, Ingo Kindevater-Johannes Schoettler 21-15, 21-15.

Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tersingkir selepas tewas kepada Fran Kurniawan-Shendy Puspa Irawati dari Indonesia 15-21, 17-21.

myMetro

No comments:

Post a Comment