Sunday, March 10, 2013

Chong Wei hampiri gelaran hatrik



CHONG WEI melangkah ke final buat kali kelima berturut-turut pada Seluruh England sekali gus berpeluang mencipta kejayaan hatrik.



JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan selaku pilihan pertama kejohanan apabila mengesahkan slot ke final dalam pemburuan gelaran ketiga pada Kejohanan Badminton Siri Super Premier Seluruh England 2013 di Birmingham hari ini.
Pada aksi separuh akhir semalam, pemain No. 1 dunia itu menewaskan Tanongsak Saensomboonsuk dari Thailand dengan kemenangan 22-20, 21-8 untuk beraksi di pentas final buat kali kelima secara berturut-turut sejak 2009.
Pertarungan antara kedua-dua pemain itu dilihat terlalu sengit pada set pertama sehingga perlawanan diheretkan sehingga ke mata penentuan.
Begitupun, Chong Wei seperti mendapat suntikan semangat baharu untuk mendominasi set kedua apabila mendahului 13 mata sekali gus menewaskan pemain No. 37 dunia itu dalam tempoh 33 minit.
Berdasarkan laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF), rekod pertemuan bagi kedua-dua pemain itu sentiasa memihak kepada Chong Wei yang tidak pernah tewas dalam tujuh pertemuan sejak 2008.
Pada kempen tahun lalu, Chong Wei yang tampil selaku penyandang juara edisi 2010 dan 2011 terpaksa melepaskan peluang untuk melakukan hatrik apabila terpaksa menarik diri daripada pentas final selepas mengalami kecederaan bahu kanan ketika menentang pemain China, Lin Dan.
Chong Wei kini menggalas tugas sebagai pemain tunggal negara yang masih meneruskan perjuangan di bumi England sejak memulakan kempen pusingan pertama pada 6 Mac lepas.
Sementara itu, pada aksi suku akhir kelmarin, beregu daripada Kuala Lumpur Racquet Club (KLRC), Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd. Tazari kalah kepada Liu Xiaolong dan Qiu Zihan dari China 12-21, 10-21.
Kekalahan itu turut dialami satu lagi pasangan negara, Hoon Thien How dan Tan Wee Kiong selepas tewas kepada beregu pilihan kelapan, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan dari Indonesia 12-21, 16-21 dalam masa 24 minit.
Turut mempamerkan persembahan hambar ialah pasangan beregu wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei yang ditunjukkan jalan keluar oleh beregu pilihan keenam, Miyuki Maeda dan Satoko Suetsuna dari Jepun 16-21, 13-21.
Semua pemain perseorangan wanita Malaysia kalah dalam pusingan kelayakan manakala dua beregu campuran negara gagal meneruskan saingan apabila kalah kepada lawan masing-masing pada pusingan kedua.
Peminat sukan tanah air turut dikejutkan dengan kekalahan beregu utama negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong kepada pasangan Thailand, Maneepong Jongjit-Nipitphon Puangpuapech 17-21, 18-21 pada pusingan kedua, Khamis lalu


Kosmo!

No comments:

Post a Comment