Thursday, September 27, 2012

Akademi Badminton AirAsia dilancar

PENERAJU syarikat penerbangan tambah murah, AirAsia Berhad mengambil langkah proaktif mencari pengganti Datuk Lee Chong Wei untuk sukan badminton negara apabila melancarkan Akademi Badminton AirAsia (AABA) yang memulakan operasi pada 1 Oktober.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata, sebagai langkah permulaan, tiga pusat akademi dibuka bulan depan.

“Akademi terbabit di Petaling Jaya dan Kepong yang mempunyai 16 gelanggang manakala di Klang, 13 gelanggang yang membabitkan 120 pelajar berusia 12 tahun ke atas,” kata Tony di Akademi AABA, Petaling Jaya semalam.
AirAsia nampaknya serius menubuhkan akademi bagi membantu menyediakan bakat badminton negara apabila melantik empat jurulatih, membabitkan bekas pemain kebangsaan yang berdaftar di bawah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) iaitu Jason Lim, Bradon Lee, Guang Ming dan Winnie Lee.

Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi AirAsia Berhad Datuk Aziz Bakar, CEO Aireen Omar dan wakil Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Chin Chai.

Sesi latihan akademi terbabit berlangsung dua sesi iaitu jam 9 pagi hingga 12 tengah hari serta 3 petang hingga 5 petang pada setiap hujung minggu dengan setiap pelajar dikenakan yuran RM120.
“Dengan adanya AABA, kami harap dapat melahirkan generasi baru pemain badminton bertaraf dunia dan juara di pentas antarabangsa,” kata Tony. “Pelajar akademi ini bukan hanya berlatih tapi juga diberi peluang menyertai kejohanan anjuran BWF baik di Jepun, Taiwan mahupun mana-mana negara.” Sementara itu, Tony berkata, syarikat terbabit akan menganjurkan Kejohanan Badminton Piala AirAsia di Chiang Mai, Thailand tahun ini.

“Kami belum menetapkan tarikh tapi yang pasti ia kejohanan terbuka membabitkan lima kategori, perseorangan dan beregu lelaki, perseorangan dan beregu wanita serta beregu campuran.” Setiausaha Kehormat BAM, Chin Chai gembira dengan inisiatif AirAsia bagi membantu melahirkan lebih ramai pemain bertaraf dunia.
“Ini bagus kerana membantu membangunkan bakat muda di peringkat akar umbi. Ia juga melatih pemain erti profesional sebelum dipilih sebagai pemain kebangsaan dan BAM sentiasa berfikiran terbuka dan menyokong mereka,”

No comments:

Post a Comment