Wednesday, January 16, 2013

Kebangkitan Ramdan dua tahun lagi: Rahman

Rahman Sidek meletakkan sasaran dua tahun untuk anak saudaranya, Misbun Ramdan Misbun berada dalam kelompok terbaik dunia.
Rahman yang melatih Ramdan buat sementara sebelum Datuk Misbun Sidek mengambil alih pada masa yang belum ditetapkan berkata, anak didiknya itu membuktikan dirinya cukup berbakat kerana hanya mengambil masa singkat di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk muncul juara kebangsaan.

“Dalam masa dua tahun bersama BAM, dia sudah mengatasi pemain yang lebih lama bermain sepenuh masa, itu menunjukkan bakat dan kesungguhannya untuk berjaya lebih tinggi,” kata Rahman.
“Kami di Nusa Mahsuri mempunyai pengalaman melahirkan pemain bertaraf dunia seperti Rashid Sidek, Roslin dan Muhd Hafiz Hashim.

“Sekarang semua terpulang kepada Ramdan, apa yang dia mahu dan tahap yang ingin dikecapinya.” Bagaimanapun ketika ditanya mengenai perancangan Nusa Mahsuri untuk menaikkan prestasi Ramdan, Rahman nyata belum ada jawapan dengan hanya mengulangi tempoh dua tahun dilihat paling sesuai untuk melihat anak saudaranya berada di tahap terbaik dunia.

Ramdan, juara kebangsaan 2012 mencipta kontroversi apabila meninggalkan BAM minggu lalu, tewas kepada pemain China, Chen Yuekun pada perlawanan pertama pusingan kelayakan semalam.
Anak legenda badminton negara, Misbun itu tewas 15-21, 16-21 dan jelas gugup beraksi pada penampilan pertama di kejohanan Siri Super Terbuka Malaysia, semalam.

“Saya memang gugup beraksi buat kali pertama di kejohanan sebesar ini apa lagi di depan penonton sendiri hingga membuatkan permainan saya tidak menjadi,” kata Ramdan yang mensasarkan untuk berada di kelompok 50 terbaik dunia pertengahan tahun ini.
Pada masa ini, dia berada di ranking ke-87 dunia selepas menduduki posisi ke-67 dunia tahun lalu.

Metro

No comments:

Post a Comment